Jenazah Noor Amila Edrus selamat dikebumikan

Astro Awani
Ogos 19, 2016 09:33 MYT
Dianggarkan lebih seratus penduduk kampung, anggota keluarga serta saudara mara mangsa menghadiri majlis pengkebumian Allahyarham Noor Amila. - Foto Astro AWANI
Jenazah Noor Amila Edrus Norsham kanak-kanak berusia lima tahun yang hilang dan ditemui mati pada Khamis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bangkong, Batu 5, Jalan Ipoh di sini, kira-kira jam 12.30 malam tadi.
Jenazah sebelum itu disolatkan di Surau Al Hijriah, Jinjang Utara setelah selesai proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.
Dianggarkan lebih seratus penduduk kampung, anggota keluarga serta saudara mara mangsa menghadiri majlis pengkebumian termasuk ibu Allahyarham, Siti Nursharmila Tengku Hanafiah, 46.
BACA: Noor Amila Edrus berkali-kali minta maaf pada ibu
Dia turut kelihatan tidak dapat menahan sebak ketika menyiram air mawar di pusara anaknya.
Anak sulung daripada dua beradik ini yang tinggal bersama bapa dan ibu tirinya di Jinjang Utara sebelum dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu.
Mayat Allahyarham ditemui di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang pada Khamis, dan kes itu kini diklasifikasikan oleh polis sebagai kes bunuh.
Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun pada Isnin lepas di sekitar Jinjang dan suspek direman empat hari sehingga hari ini.
#bunuh budak #dikebumikan #mayat ditemui #Noor Amila Edrus
;