Jenazah Nidza Afham dikebumi di Puncak Alam

Afiezy Azaman
Ogos 15, 2024 11:00 MYT
Jenazah penyanyi Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemukan meninggal dunia di Sungai Klang, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Puncak Alam, Selangor, hari ini.
KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemukan meninggal dunia di Sungai Klang, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Puncak Alam, Selangor, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan kakaknya, Nur Irfahanie Mokhtar, 30, di laman media sosial X miliknya, pada Khamis.
"Adik saya akan dikebumi di Puncak Alam selepas solat Zohor.
"Solat jenazah di Masjid Puncak Alam dan Insya-Allah dikebumikan di Tapak Perkuburan Felda Bukit Cherakah berhampiran SMK Puncak Alam," katanya.
Pada Rabu, mayat Allahyarham ditemui kira-kira 1 kilometer dari lokasi terakhir penemuan dompet dan telefon bimbitnya di Jambatan Kota, Klang.
Allahyarham sebelum itu dilaporkan hilang selepas keluar jogging menaiki e-hailing ke Stadium Klang.
Bagaimanapun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakamkan kelibat Allahyarham sedang berjalan melintas beberapa premis berhampiran Masjid India Muslim Tengku Kelana sebelum hilang.
#Nidza Afham Mokhtar #Nidza Afham hilang #Jambatan Kota Klang #sungai klang
;