Jenazah Mui Mahmud selamat dikebumikan
Firdaus Azil
Oktober 9, 2023 14:18 MYT
Oktober 9, 2023 14:18 MYT
KUALA LUMPUR: Jenazah pengasas bersama platform penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi, Kiddocare Sdn Bhd, Muhaini Mahmud, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang kira-kira 2.30 petang Isnin.
Terdahulu, jenazah Muhaini, 44, yang lebih dikenali sebagai Mui, telah dibawa melalui helikopter dari Langkawi ke Padang MINDEF, Jalan Padang Tembak, kira-kira jam 9 pagi ini, sebelum disolatkan di Masjid UTM.
Anak kepada Datuk Dr Mahmud Mohd dan tokoh pendidikan, Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin itu meninggal dunia selepas ditidurkan bagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), susulan lemas dalam satu kejohanan triathlon Ironman di Langkawi pada hari sebelumnya.
Allahyarham Mui sangat dikenali sebagai seorang aktivis dalam memperkasa peranan wanita dan keluarga melalui teknologi, dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat, dan menubuhkan Kiddocare bersama sahabatnya, Nadira Yusoff.
Media juga melaporkan Mui sangat mencintai sukan lasak, dan pernah memenangi tempat ketiga dalam acara Selangor Duathlon 2023, di bawah kategori pecut wanita 45 tahun ke atas.
Sementara itu Kiddocare dalam laman rasminya menganggap pemergian Mui tiada galang gantinya, dah telah memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk syarikat itu sejak penubuhannya, selain menjadi idola dan inspirasi kepada ramai orang.