Jenazah Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain selamat dikebumikan

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 25, 2022 06:00 MYT
Lebih 100 individu hadir memberi penghormatan akhir termasuk ahli keluarga, saudara, sahabat dan jiran tetangga. - Astro AWANI
PASIR GUDANG: Jenazah Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna ( MPV) di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, Pahang selamat dikebumikan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, di sini, pada jam 1 pagi.
Suasana hiba dan sayu serta hujan lebat mengiringi perjalanan akhir Allahyarham di tanah perkuburan.
Lebih 100 individu hadir memberi penghormatan akhir termasuk ahli keluarga, saudara, sahabat dan jiran tetangga.
Sebelum itu, jenazah anak sulung Azmawati Ab Kadir, 55, selamat tiba di kediaman keluarganya di Taman Air Biru, di sini pada jam 11.45 malam.
Jenazah sebelum itu, disolatkan dikediamannya sekali lagi.
Terdahulu, jenazah Muhammad Iman dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Afzan ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan pada jam 2.30 petang untuk dimandikan.
Jenazah seterusnya dikafan dan disembahyangkan di masjid yang sama sebelum dibawa pulang ke Pasir Gudang.
Sebelum itu, kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial sejak tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai untuk menyalurkan berita berhubung kehilangan abangnya pada 29 Oktober selepas gagal dikesan.
Pada Sabtu, polis Pahang menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lepas.
BACA: Rangka ditemukan, dipercayai orang hilang sejak 10 bulan lepas
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada jam 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat yang diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
#Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain #MPV #kebumi #lemas
;