Jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari IPFN HKL
Astro Awani
Disember 18, 2018 08:10 MYT
Disember 18, 2018 08:10 MYT
Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa keluar dari perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, di sini, pada jam 7.18 pagi.
Jenazah menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia, dibawa ke kemudahan Airod di Subang.
Allahyarham Muhammad Adib akan diterbangkan menggunakan helikopter ke Kedah untuk dikebumikan di kampung halamannya atas permintaan keluarga.
Terdahulu, selepas selesai proses bedah siasat, jenazah Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disolatkan di perkarangan IPFN.
Solat jenazah untuk anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu disertai lebih 50 jemaah, terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.
Setibanya jenazah Muhammad Adib di Kedah, JBPM akan mengadakan istiadat pengebumian kebombaan sebagai tanda memberi penghormatan terakhir sebelum arwah disemadikan di tanah perkuburan berhampiran kampungnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.
Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, 24 tahun, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya ketika sedang menyertai operasi memadam kebakaran.
Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
#bedah siasat
#bomba
#Hospital Kuala Lumpur
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#jenazah
#kebakaran
#Muhammad Adib Mohd Kassim