Jenazah Mejar Mohd Zahir selamat dikebumikan

Aida Aziz
September 5, 2019 09:22 MYT
Ratusan pegawai dan anggota tentera, ahli keluarga, saudara mara serta rakan hadir di Tanah Perkuburan Islam Tambun hari ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Mejar Mohd Zahir. - Astro AWANI/AIDA AZIZ
Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira jam 8.45 pagi ini.
Allahyarham, 36 tahun, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Mohd Zahir yang juga anak kepada pelakon dan pelawak terkenal, AR Badul, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada jam 9.20 pagi semalam.
Ratusan pegawai dan anggota tentera, ahli keluarga, saudara mara serta rakan hadir di tanah perkuburan tersebut hari ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.
BACA: Penghormatan terakhir dan solat jenazah buat Allahyarham Mohd Zahir
Terdahulu, jenazah tiba di rumah ibu mentuanya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi, disusuli majlis bacaan tahlil dan surah Yasin.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menziarah jenazah Allahyarham jam 6.45 pagi dan meluangkan masa kira-kira 10 minit berbual dengan waris Allahyarham.
BACA: MB Perak zahir ucapan takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir
Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi tadi, mengiringi pengebumian jenazah yang disembahyangkan di kediaman ibu mentuanya dengan diimamkan Pegawai Staf Agama, Markas 2 Briged, Lt Kol Titan Abd Wahap.
Allahyarham, yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur, meninggalkan balu, Nour Shafinar Harun, 31 tahun, dan lima orang anak berusia antara lima bulan dan sembilan tahun.
#Ahmad Faizal Azumu #anak AR Badul #Angkatan Tentera Malaysia #jenazah #kebumi #Kem Lok Kawi #komando #Mejar Mohd Zahir Armaya #meninggal dunia #Mohd Zahir Armaya #Nour Shafinar Harun #Tanah Perkuburan Islam Tambun #tembakan #tentera
;