Jenazah mangsa kemalangan Kuala Nerus selamat dikebumikan

Sharom Abu Bakar
Mei 25, 2019 22:30 MYT
Jenazah Hafiiz Mohd dan Siti Nur Shahila dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Awang Lib, Padang Nenas selepas proses pengurusan jenazah di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Sabtu. - BERNAMA
Ibu kepada wanita hamil yang maut dalam kemalangan di Kuala Nerus pagi tadi, rebah ketika pengebumian anaknya.
Saripah Mohd, 53 tahun yang tidak mampu menahan sedih, rebah ketika bacaan talkin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Awang Lib, Padang Nenas di sini.
Saripah juga terpaksa dipimpin ahli keluarganya semasa menyiram air di pusara anaknya, Siti Nur Shahila Asla, 26 tahun, dan menantunya, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29 tahun.
Jenazah pasangan muda yang maut ketika dalam perjalanan pulang dari Felda Chiku 5 di Gua Musang, Kelantan itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada pukul 9.15 malam Sabtu.
Sebelum itu, kedua-dua jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Padang Nenas selepas solat Maghrib.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri lebih 200 ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung.
Dalam kemalangan pada pukul 9.20 pagi Sabtu, Siti Nur Shahila dan Hafiiz Mohd, yang baru mendirikan rumah tangga sembilan bulan lalu, antara empat yang maut apabila kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Hafiiz bertembung dengan sebuah kereta Peugeot.
BACA: Wanita hamil antara 4 mangsa maut nahas di Kuala Nerus
Dua lagi yang maut ialah pemandu kereta Peugeot, Anuar Said, 59, dan isterinya Che Khasliza Che Hussin, 53.
Siti Nur Shahila juga sedang hamil lima bulan.
#kemalangan #Kuala Nerus
;