Jenazah M. Daud Kilau selamat dikebumikan

Ridauddin Daud
Disember 19, 2023 14:21 MYT
Upacara pengebumian Allahyarham M. Daud Kilau dihadiri hampir 200 ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan juga rakan-rakan artis. -Astro AWANI
BAGAN DATUK: Jenazah penyanyi legenda negara, Datuk M. Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk kira-kira jam 2.30 tadi.
Upacara pengebumian M. Daud dihadiri hampir 200 ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan juga rakan-rakan artis.
Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan tersebut kira-kira jam 1.55 petang sebelum dikebumikan.
Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, dihadiri kira-kira 400 jemaah dan selesai pada jam 1.40 petang.
Ahli keluarga yang hadir dilihat sayu ketika upacara pengebumian yang berlangsung kira-kira 30 minit itu.
M. Daud kembali ke rahmatullah pada jam 4.46 petang pada Isnin di Hospital Teluk Intan pada usia 85 tahun.
Allahyarham meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi, dan masalah jantung.
Jenazah dimandikan di hospital sebelum dibawa pulang ke rumah Allahyarham di Kampung Sungai Balai Baroh pada Isnin malam.
Allahyarham M. Daud yang dilahirkan di Bagan Datoh, Perak aktif dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.
Pada 1985, Allahyarham menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori nyanyian asli.
Selain "Cek Mek Molek" dan "Sirih Pinang", M.Daud popular dengan lagu "Anak Derhaka", "Gila Judi" dan "Pening" yang dirakam bersama Ezlynn pada 2003.
#M Daud Kilau #Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh #Masjid Tuminah Hamidi #Hospital Teluk Intan #kencing manis darah tinggi dan masalah jantung
;