Jenazah lima sekeluarga dikebumi satu liang lahad
Shahrul Hassan
Disember 13, 2017 18:08 MYT
Disember 13, 2017 18:08 MYT
Lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Viva dan bas ekspres di Segamat, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, di sini, hari ini.
Jenazah Muhamad Abu Dujanah Dzulkarnain, 30, Zinnirah Abdul Hamid, 28, Nur Maghfirah Muhamad Abu Dujanah, 6, Muhammad Abu Ajwad Muhamad Abu Dujanah, 4, dan Nur Alia Humairah Abu Dujanah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 2.35 petang.
Terhadulu jenazah dibawa ke surau Kampung Mengkibol untuk disembahyangkan.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang Selasa di KM 176 Jalan Johor Bahru-Seremban itu, seorang lagi mangsa, Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HAS), Johor Bahru dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Menurut datuknya, Dzulkarnain Yusoh, 55, Nur Ghaziyah Athirah dipindahkan ke hospital itu dari Hospital Segamat pada jam 12.45 tengah hari tadi untuk rawatan lanjut.
“Keadaannya masih tidak stabil kerana dia sahaja yang terselamat maknanya hentakan itu sangat kuat.
“Saya kesian tengok dia kerana pinggul dan kaki dia patah, jadi dia harus menjalani pembedahan,” jelas Dzulkarnain.