Jenazah Koperal Mohd Faizol selamat dikebumikan

Astro Awani
Oktober 7, 2016 09:06 MYT
Isteri kepada Allahyarham Koperal Mohd Faizol Rosli, Siti Aminah Abdul Hamid (dua,kanan) menyiram air mawar pada pusara suaminya selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Kuang, Kupang awal pagi tadi. - Foto Bernama
Jenazah Koperal Mohd Faizol Rosli, yang merupakan antara dua anggota Tentera Darat yang hilang setelah terjatuh ke dalam laut di Pulau Perak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kuang, Kupang awal pagi tadi.
Jenazah dikebumikan pada 1.20 pagi selepas selesai solat jenazah di kediaman arwah di Kampung Keda Kemangi, Kupang.
Pegawai Staff 11 Agama Markas 2 Divisyen, Mejar Risal Othman mengimamkan solat jenazah bersama anggota tentera dan penduduk kampung.
Selesai pengebumian, Panglima 2 Divisyen, Datuk Mohd Rosli Jaafar menyerahkan jalur gemilang kepada bapa Allahyarham, Rosli Hassan, 55, bagi memberi penghormatan terakhir.
Mayat Koperal Mohd Faisol ditemui terapung, kira-kira jam 10.45 pagi, semalam selepas terjatuh ke laut ketika bertugas di Pulau Perak, Isnin lalu.
Mayat ditemui Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika melakukan pencarian kira-kira 30 meter dari Pulau Perak.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi anggota tentera darat yang hilang, Koperal Johbartlee Kanil.
Kedua-dua mereka dari Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (4RRD) berpangkalan di Kem Oran, Perlis masing-masing ditugaskan di Pulau Perak sejak sebulan lalu.
#KD Mahawangsa #mayat dijumpai #Paskal #Pasukan Khas Laut #pasukan mencari dan menyelamat #Pulau Perak
;