Jenazah Khalid Ibrahim selesai dimandi, dikafankan
Fareez Azman
Ogos 1, 2022 09:34 MYT
Ogos 1, 2022 09:34 MYT
KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Umar Al Khattab pada jam 8 pagi Isnin.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di masjid kira-kira jam 6 pagi.
Majlis bacaan Yasin sedang diadakan oleh ahli keluarga dan orang ramai sebelum solat jenazah pada jam 10 pagi.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam pada jam 11 pagi untuk sesi ziarah dan penghormatan terakhir sebelum disolatkan sekali lagi pada jam 1.40 tengah hari.
Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, jenazah akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam dijadualkan pada jam 2 petang.
Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral pada Ahad malam.
Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
Allahyarham yang berusia 76 tahun meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak, dan dua cucu.
#Abdul Khalid Ibrahim
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Masjid Umar Al Khattab
#Makam Diraja Shah Alam