Jenazah Kapten Hasman Hussin tiba di KLIA

Rahimah Abdullah
Januari 6, 2016 14:07 MYT
Mangsa sedang menjalani kursus di sebuah kem tentera AS, Fort Leonard Wood sejak 1 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir pada 15 April tahun depan. - Gambar fail
Jenazah Kapten Hasman Hussin tiba di Kompleks Kargo MAS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New York, Amerika Syarikat (AS), kira-kira jam 1.18 tengah hari tadi.
Jenazah Allahyarham diterbangkan semalam menggunakan pesawat China Airlines pada jam 1.20 tgh hari waktu malaysia.
Ia kemudian transit di Taipei sebelum meneruskan penerbangan ke tanah air.
Jenazah akan dibawa ke Masjid AsSyuhada di Kem Terendak, Melaka untuk penghormatan dan solat jenazah.
Mengiringi jenazah, ahli keluarga termasuk isteri Allahyarham, Siti Hazwani Ahmad.
Turut mengiringi, Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja, Mejar Jeneral Datuk Ir Abdul Nasser Ahmad, dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka.
Kapten Hasman , 43, lemas selepas kenderaan dinaikinya bersama empat rakan tentera dari negara lain dihanyutkan air deras di Missouri, AS pada 26 Disember lalu.
Mangsa sedang menjalani kursus di sebuah kem tentera AS, Fort Leonard Wood sejak 1 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir pada 15 April tahun depan.
Mereka berlima dilaporkan sedang menghabiskan percutian Sabtu lalu sebelum kenderaan dinaiki dihanyutkan arus deras semasa mengharungi satu laluan di Pulaski County, Missouri yang dinaiki air, kira-kira jam 2 pagi. Kejadian itu turut meragut nyawa empat rakan Hasman.
Sementara itu, di Melaka proses persediaan untuk upacara pengebumian Allahyarham di Masjid Tanah sedang berjalan.
#China Airlines #Kapten Hasman Hussin #KLIA #Masjid AsSyuhada #New York
;