Jenazah Kapten Hasman diterbangkan ke New York hari ini

Bernama
Januari 2, 2016 18:07 MYT
usaha membawa pulang jenazah Kapten Hasman sedang dilakukan setelah selesainya urusan dokumentasi dan pengurusan jenazah di rumah mayat Waynesville, Fort Leonard Wood semalam. - Foto Bernama
Jenazah pegawai Angkatan Tentera Malaysia Kapten Hasman Hussin, yang disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam banjir di Missouri, Amerika Syarikat, diterbangkan ke New York hari ini.
Markas Tentera Darat dalam kenyataan hari ini berkata usaha membawa pulang jenazah Kapten Hasman sedang dilakukan setelah selesainya urusan dokumentasi dan pengurusan jenazah di rumah mayat Waynesville, Fort Leonard Wood pada 11 pagi semalam.
Katanya jenazah diterbangkan ke New York menggunakan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert-St Louis, Missouri pada 9.10 pagi tadi.
BACA: Mayat Kapten Hasman Hussin yang dihanyutkan banjir di Missouri, ditemui - ATM
BACA: Isteri Kapten Hasman dimaklumkan tentang penemuan mayat suami
BACA: Bapa Kapten Hasman redha, syukur jasad ditemui
Menurut Markas Tentera Darat penerbangan dari New York ke Malaysia sedang diusahakan dan jenazah akan diiringi oleh Penolong Atase Pertahanan Malaysia di Washington DC, Leftenan Kolonel Mohd Hafizar Md Idris dari Fort Leonard Wood hingga ke Kuala Lumpur.
Jadual penerbangan dari New York ke Malaysia akan dimaklumkan setelah pengesahan diperolehi oleh pihak Tentera Darat, katanya.
Hasman, 33 yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang pada 26 Dis lepas apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.
Rabu lepas Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Dis waktu Malaysia).
#Amerika Syarikat #Hasman Hussin #Masjid Tanah #Missouri #Mohd Hairi #Siti Hazwani Ahmad
;