Jenazah kanak-kanak maut insiden kebakaran selamat dikebumi

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 10, 2024 04:20 MYT
Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, Nurul Armiza Mohamed yang meninggal dunia pada tahun 2020. - Astro AWANI
PAGOH: Jenazah kanak-kanak 11 tahun yang maut dalam kebakaran di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh semalam selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Redan, pagi tadi.
Manakala jenazah datuk dan neneknya yang turut terkorban dalam nahas itu masih belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaanya yang rentung lebih 80 peratus.
Difahamkan, proses bedah siasat terhadap jenazah kanak-kanak itu, Noradriana Nor Hisyam, dilakukan lewat malam tadi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Selepas selesai proses terbabit, jenazah Noradriana dibawa ke Masjid Jamek Kampung Paya Redan, Pagoh untuk disembahyangkan.
Kira-kira 100 jemaah terdiri ahli keluarga, sanak-saudara dan penduduk turut serta menunaikan solat jenazah.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu apabila rakan-rakan kanak-kanak itu turut berduka dengan tragedi yang menimpa sahabat mereka.
Jenazah kanak-kanak itu turut dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, Nurul Armiza Mohamed yang meninggal dunia pada tahun 2020 lalu akibat kanser pangkal rahim.
Terdahulu, dalam kejadian awal pagi semalam, pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka berusia 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.
Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF.
Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital yang sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz turut memaklumkan pihak polis sedang mengesan anak lelaki pasangan warga emas itu yang dipercayai melarikan diri ketika kejadian berkenaan.
#Kanak-kanak #kebakaran #kebumi #Noradriana Nor Hisyam