Jenazah Johan Abdullah selamat dikebumikan
Sinar Harian
Disember 8, 2024 13:00 MYT
Disember 8, 2024 13:00 MYT
SEREMBAN: Jenazah pelakon, Allahyarham Johan Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale di sini pada jam 11.05 pagi pada Ahad.
Sebelum itu jenazah dimandi dan dikafankan di Surau Al-Amin, Taman Mantau Indah dan lebih 30 ahli keluarga, kenalan Allahyarham hadir pada pengebumiannya.
Allahyarham yang biasa memegang watak lelaki Inggeris dalam filem dan drama tempatan meninggal dunia pada usia 75 tahun di Hospital Tuanku Jaafar di sini jam 7.20 malam pada Sabtu akibat jangkitan kuman dalam darah.
Salah seorang anak Allahyarham, Mohamad Fajar Johan, 45, meminta orang ramai memaafkan bapanya sekiranya dia ada melakukan perkara yang mengguris hati.
"Kepada orang ramai dan peminat Allahyarham, seandainya dia ada buat sesiapa terasa hati mohon dimaafkan dan jika ada yang dia termakan serta terminum, minta dihalalkan.
"Jika arwah ada hutang sesiapa, minta hubungi kami dan insya-Allah kami cuba selesaikan. Semoga dia dapat 'berehat' dengan aman," katanya.
Mohamad Fajar memberitahu, Allahyarham dikurniakan 12 anak yang dua daripadanya adalah hasil perkahwinan dengan isteri sekarang. - Sinar Harian