Jenazah Hud Aryan selamat dikebumikan di Tanah Merah
Bernama
Februari 27, 2025 09:00 MYT
Februari 27, 2025 09:00 MYT
Jenazah Hud Aryan Mohd Nor Hafifi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah, awal pagi tadi.
TANAH MERAH: Jenazah kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga, di sini, awal pagi tadi.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila hampir 100 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung mengiringi perjalanan terakhir anak tunggal itu, selepas jenazah disolatkan di Masjid Mukim Kuala Tiga kira-kira 1 pagi.
Terdahulu, jenazah dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Tanah Merah setelah proses bedah siasat selesai sebelum dimandikan dan dikafankan.
Bapa kepada Allahyarham, Mohd Nor Hafifi Saidee, 34, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota pasukan keselamatan seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung yang bertungkus lumus mencari anaknya sejak tiga hari lepas.
"Saya dan isteri Azean Nur Atikah Ramley, 34, reda dengan pemergian arwah serta ingin ucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang mendoakan kesejahteraan arwah Hud Ryan," katanya.
Pada Isnin, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga dan operasi pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 serta penduduk kampung. - BERNAMA