Jenazah Haron Din dikebumi selepas solat Jumaat di San Francisco
Astro Awani
September 16, 2016 22:53 MYT
September 16, 2016 22:53 MYT
Jenazah Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Haron Din akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat (AS) selepas solat Jumaat waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia).
Keputusan untuk kebumikan di San Francisco dibuat kerana ia amanat Allahyarham sendiri kepada ahli keluarga serta sahabat jika ditakdirkan meninggal dunia di negara itu.
Jenazah Allahyarham akan dimandi dan disolatkan di Masjid An Noor Santa Clara, San Francisco, pada pukul 10 pagi Jumaat waktu tempatan (1.00 pagi Sabtu waktu Malaysia).
Beberapa masjid di seluruh negara akan mengadakan solat jenazah ghaib antaranya di Kompleks PAS Perlis di Jalan Stadium Utama, Kangar malam ini dan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pukul 9 pagi Sabtu.
Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
Allahyarham dimasukkan ke hospital itu bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.