Jenazah Halil Chik selamat dikebumikan
Bernama
Jun 30, 2019 20:17 MYT
Jun 30, 2019 20:17 MYT
Jenazah penyanyi era 70-an, Halil Chik atau nama sebenarnya Abdul Halil Chik, selamat dikebumikan pada 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, hari ini.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira 7 pagi tadi di Hospital Ampang susulan serangan angin ahmar.
Suasana hiba menyelubungi Masjid Bukit Antarabangsa dengan kehadiran anggota keluarga, saudara mara, kenalan serta rakan artis bagi memberi penghormatan terakhir buat arwah sebelum jenazah disemadikan.
Anaknya, Alif Halil, 23, berkata Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir ketika berada di sisinya.
"Semalam saya tidur di sebelah katil ayah dan bila saya bangun, ayah macam tak bernafas jadi saya panggil doktor untuk periksa. Dalam 20 minit kemudian, doktor beritahu ayah sudah tiada," katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan.
Difahamkan Halil, 70, dimasukkan ke hospital pada 19 Jun lepas selepas diserang angin ahmar di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini.
Rakan arwah, Datuk Tommie Tumiran yang terharu dengan kepergian Allahyarham, yang disifatkan sebagai individu yang baik dan tidak suka bercerita hal orang lain.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez pula berkata industri hiburan kehilangan seorang bintang berbakat besar dan berharap sumbangan Allahyarham yang popular dengan lagu 'Lenggang Mak Limah' akan terus dikenang. -- Bernama