Jenazah enam anggota polis dihantar pulang hari ini
T K Letchumy Tamboo
Mac 4, 2013 13:08 MYT
Mac 4, 2013 13:08 MYT
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata semua anggota polis yang terlibat dalam kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah, telah diambil kira.
“Anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu telah diambil kira, termasuk mereka yang terkorban,” kata beliau.
Hamza berkata demikian dalam satu sidang media untuk mengumumkan nama-nama anggota polis yang terkorban dalam kejadian pada Sabtu malam itu.
Beliau berkata mereka-mereka yang terkorban ialah Supt Ibrahim Lebar dari cawangan khas Bukit Aman, ASP Micheal Padel dari cawangan khas IPD Semporna, Sarjan Baharin Hami dari cawangan khas IPK Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari BN 14 PGA Tawau, Koperal Salam Togiran dari IPD Tawau dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran dari BN 14 PGA Tawau.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), jenazah enam orang anggota polis itu akan dihantar balik ke kampung masing-masing di Sabah dan Semenanjung Malaysia hari ini.
PDRM membuat pengumuman ini di laman Facebook rasminya.
Jenazah Ibrahim dan Mohd Azrul dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 6ptg manakala jenazah Micheal dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching pada pukul 5.30ptg.
Jenazah Baharin dijangka tiba di Lapangan Terbang Terminal 2, Kota Kinabalu pada pukul 2ptg.
Jenazah Aziz dan Salam pula akan dibawa pulang oleh van jenazah ke kampung masing-masing di Semporna dan Tawau.
PDRM juga berkata Inspektor Mohamad Hasnal Jamil, yang cedera di bahagian badan dan kedua belah tangan, masih menerima rawatan di Hospital Tawau.
Beliau dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil.