Jenazah dua beranak rentung kemalangan di Tapah selamat dikebumi

Adie Sufian Zulkefli
Mac 18, 2025 07:45 MYT
Lebih 100 orang terdiri ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung hadir ke pengebumian jenazah dua beranak itu. - Foto fail/Sinar Harian
PENDANG: Jenazah dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 332.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tapah, Perak pada Selasa selamat dikebumikan, malam tadi.
Jenazah Abdul Aziz Shafie, 45, dan anaknya, Muhammad Alif Hakymie Abdul Aziz, 23, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai, di sini, sekitar pukul 9.30 malam tadi.
Terdahulu, jenazah dua beranak itu tiba di Surau Arraudhah, Kampung Pokok Tai Lama pada jam 8.30 malam dan disembahyangkan sebelum dikebumikan.
Lebih 100 orang terdiri ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung hadir ke pengebumian jenazah dua beranak itu.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, pemandu dan kelindan treler muatan pasir ditemukan rentung selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 332.4, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak, pada Selasa.
Dalam kemalangan itu, mangsa Abdul Aziz Shafie, 45 dan anak sulungnya, Muhammad Alif Hakymie, 23, dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan pulang.
Nahas dipercayai berlaku selepas treler membawa muatan pasir dipandu Abdul Aziz melanggar bahagian belakang sebuah treler membawa muatan span yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya.
#nahas dua treler #dua beranak #meninggal dunia #R&R Tapah
;