Jenazah Datuk Namat Abdullah selamat disemadikan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 18, 2020 05:19 MYT
Rakan seperjuangan dan ahli keluarga berkesempatan menyiram air mawar ke pusara Allahyarham Namat. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Jenazah legenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah, 74 tahun, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Sungai Petani, kira-kira jam 11.26 pagi ini.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Al Abrar, Taman Peruda, dengan dihadiri kira-kira 500 ahli keluarga, rakan seangkatan arwah dan orang ramai.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan sebaik jenazah dimasukkan ke liang kira-kira jam 11.07 pagi.
Pengebumian selesai kira-kira jam 11.26 pagi.
Rakan seperjuangan dan ahli keluarga berkesempatan menyiram air mawar ke pusara Allahyarham.
Namat meninggal dunia di kediaman menantunya di Taiping, Perak, selepas menghidap kanser usus sejak 2017.
Allahyarham menghidap kanser tahap empat dan pernah diserang angin ahmar pada 2015.
Beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.35 petang di sisi anak-anaknya.
BACA: Agong zahir takziah kepada keluarga legenda bola sepak Datuk Namat Abdullah
Allahyarham yang dilahirkan di Butterworth dan dibesarkan di Sungai Nibong, Pulau Pinang, meninggalkan seorang balu, tujuh anak dan 16 cucu.
Selepas bersara daripada perkhidmatannya di Jabatan Penjara Malaysia, Namat membeli rumah di Sungai Petani.
Allahyarham merupakan antara pemain bola sepak negara yang disegani atas sumbangan besarnya, termasuk membantu Harimau Malaya ke Sukan Olimpik Munich pada 1972.
#kebumi #meninggal dunia #Namat Abdullah #kubur #pengebumian #bola sepak #Jabatan Penjara Malaysia #Sungai Petani #Masjid Al Abrar