Jenazah Cikgu Istiqomah diserah tanpa kaki dan tangan - Polis

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 19, 2024 14:40 MYT
Ashari (tengah) berkata, proses penyerahan badan dan kepala tanpa kedua-dua kaki dan tangan itu juga berjalan dengan lancar. -Astro AWANI
MELAKA TENGAH: Keluarga kepada guru wanita Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi,33, yang dipercayai dibunuh secara kejam oleh kenalan lelakinya menerima dengan baik keadaan jenazah yang diserahkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, proses penyerahan badan dan kepala tanpa kedua-dua kaki dan tangan itu juga berjalan dengan lancar.
"Keadaan jenazah seperti mana yang semua tahu, ada bahagian yang tidak dapat (dijumpai) lagi di mana bahagian badan yang kita temui pada peringkat awal dan peringkat kedua (kepala dan tulang jari) telah diserahkan kepada keluarga hari ini.
"Jenazah ini sedang dimandi dan dikafankan dan insya-Allah akan dibawa balik ke Kelantan untuk dikebumi yang mana keluarga menerima keadaan ini selepas dimaklumkan oleh pihak doktor," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan dan pencarian anggota badan Istiqomah akan diteruskan sekiranya pihak polis menjumpai sebarang petunjuk baharu, meskipun suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini.
“Siasatan masih lagi berjalan dan jika kita dapat petunjuk baharu, kita akan teruskanlah (siasatan) bukan berhenti di sini,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini, suspek utama itu hanya didakwa berkaitan kes Istiqomah dan tidak akan diserahkan kepada kontinjen lain selain akan dibawa ke Penjara Sungai Udang sehingga kes pendakwaan selesai.
#Istiqomah Ahmad Rozi #jenazah tidak sempurna #guru wanita #tanpa kaki dan tangan