Jenazah Cikgu Istiqomah diserah kepada keluarga esok

Bernama
Ogos 18, 2024 12:25 MYT
Pada 12 Ogos lepas, polis mengesahkan mayat yang ditemui tanpa kepala, tangan dan kaki dalam tong sampah dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi (gambar), guru yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023. - Foto BERNAMA
MELAKA: Selepas lapan bulan, jenazah Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, guru wanita yang dibunuh kejam dan mayatnya ditemukan dalam keadaan tragis di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, tahun lepas akan diserahkan kepada keluarganya esok.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa dan jenazah guru itu akan diserahkan kepada keluarganya pada 2 petang esok.
"Untuk makluman, jenazah Cikgu Istiqomah boleh serah esok (kepada keluarga) pukul 2 petang di Hospital Melaka," katanya ringkas menerusi WhatsApp kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 6 Jan lepas, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki di dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang.
Selepas kira-kira lapan bulan berlalu, pada 12 Ogos lepas Ashari mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, seorang guru yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.
Susulan itu, Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berumur 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.
-- BERNAMA
#Cikgu Istiqomah #Ashari Abu Samah #jenazah serah kepada keluarga #mayat tanpa kepala tangan kaki
;