Jenazah Cikgu Istiqomah belum boleh dituntut - Polis

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 13, 2024 16:52 MYT
Ashari berkata, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan bagi membolehkan kertas siasatan dapat dilengkapkan. - Foto Astro AWANI
ALOR GAJAH: Jenazah guru wanita Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dipercayai dibunuh dan dikerat oleh kenalan lelakinya masih belum boleh dituntut oleh anggota keluarga.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan bagi membolehkan kertas siasatan dapat dilengkapkan.
"Untuk makluman semua, siasatan masih belum lengkap sepenuhnya dan masih banyak tindakan yang perlu diambil oleh pihak polis untuk memastikan siasatan kes ini dapat dapat disiapkan.
"Nanti dapat pengesahan (tuntutan jenazah) saya akan maklum awal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya tidak dapat memberikan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan kerana dibimbangi ianya mengganggu siasatan memandangkan suspek lelaki yang juga bekas guru itu masih berada dalam tahan reman.
"Ada pertanyaan rakan media tidak dapat saya jawab dan kongsikan di sini kerana bimbang ianya akan mengganggu siasatan yang masih berjalan.
"Insya-Allah jika semuanya sudah selesai satu siaran media akan dibuat sendiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dan saya harap rakan media dapat bersabar," tambahnya.
Astro AWANI semalam melaporkan misteri penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang di sumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini 31 Disember lalu terjawab apabila ianya disahkan milik guru wanita terbabit.
Ashari dilaporkan berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibu mangsa pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Menurutnya, risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.
Suspek lelaki yang merupakan pedagang mata wang asing (Forex) sepenuh masa itu kemudian direman sejak 6 Ogos lalu sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 19 Ogos ini.
Penahanan suspek utama itu membawa kepada penemuan beberapa bahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai dan pihak polis masih mencari beberapa anggota lain.
#Istiqomah Ahmad Rozi #jenazah belum boleh dituntut #polis Alor Gajah #dibunuh dan dikerat
;