Jenazah bekas Presiden IIM selamat dikebumikan

Astro Awani
Disember 1, 2021 20:20 MYT
Allahyarham Dr Mohd Tap pernah memegang jawatan sebagai Presiden IIM selama tujuh tahun sebelum bersara pada 30 November 2015.
KUALA LUMPUR : Jenazah bekas Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Allahyarham Datuk Dr Mohd Tap Salleh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini pada Rabu.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Darul Ehsan Subang Jaya pada jam 11 pagi untuk disembahyangkan sebelum menuju ke tanah perkuburan.
Menurut anak kepada Allahyarham, Mohamad Azrieff Mohd Tap, arwah ayahnya berkesempatan untuk meninggalkan beberapa pesanan terakhir sewaktu berada di hospital.
“Arwah ada pesan supaya jaga cucu dia sebaiknya dan permintaan terakhir yang Allahyarham buat adalah untuk pulang ke rumah walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Punca arwah meninggal dunia belum dapat dipastikan tetapi bukan akibat COVID-19.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan arwah dan harap halalkan semua perkara,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia meninggal dunia
Mengulas lanjut, Mohammad Azrieff menyifatkan bapanya sebagai seorang Pegawai PTD yang berprinsip sepanjang berkhidmat di dalam kerjayanya.
Menurutnya lagi, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.15 petang Selasa di Hospital Kuala Lumpur pada usia 72 tahun.
Sebelum ini, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Presiden IIM selama tujuh tahun sebelum bersara pada 30 November 2015.
Selain itu, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan merupakan salah seorang anggota dalam Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.
#integriti #Datuk Dr Mohd Tap Salleh #meninggal dunia #Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia
;