Jenazah bekas CEO Cradle Fund dikebumi semula hari ini

Bernama
Oktober 14, 2018 05:47 MYT
Anggota polis mengawal pintu masuk tanah perkuburan bagi proses menggali semula jenazah Allahyarham Nazrin Hassan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, 8 Okt lalu. --fotoBERNAMA/Fail
Jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pengebumian semula akan dilakukan pada pukul 11 pagi di lokasi sama.
Pada 8 Okt, jenazah Allahyarham Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Okt membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.
Pada 3 Ogos lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.
Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.
-- BERNAMA
#bedah siasat #CEO #cradle fund #Fadzil Ahmat #jenazah #kebakaran #kematian #kes bunuh #kesan petrol #Kota Damansara #Nazrin Hassan #pengebumian semula #siasatan #tanah perkuburan Islam
;