Jenazah bayi beku: Polis rekod keterangan doktor
Sinar Harian
Disember 14, 2024 13:45 MYT
Disember 14, 2024 13:45 MYT
SHAH ALAM: Polis telah merakam keterangan empat individu pada Jumaat, berhubung kes jenazah bayi lelaki disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat individu itu membabitkan ibu bapa bayi berkenaan dan dua doktor.
"Kita akan panggil beberapa lagi individu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
"Polis telah menerima satu laporan yang dibuat bapa bayi berkenaan pada jam 3 pagi Jumaat di Balai Polis Damansara.
"Laporan itu diklasifikasikan di bawah kertas enkuiri polis (KEP) dan kita akan siasat untuk menentukan sebarang unsur jenayah dalam isu ini," katanya pada Sabtu.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan polis akan memanggil beberapa individu termasuk pihak hospital berhubung isu berkenaan.
Sebelum itu, peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa bayi itu, Safwan Roshdy, 22, memaklumkan akan mengambil tindakan saman terhadap netizen yang memfitnah keluarga jenazah bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Selangor.
Ahmad Zaharil memaklumkan, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
Kisah menyayat hati itu tular di media sosial sejak Selasa selepas Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara itu.
Wan Chai memaklumkan, pihaknya menghadapi kesukaran sewaktu menguruskan jenazah bayi berkenaan kerana dalam keadaan beku sepenuhnya. - Sinar Harian