Jenazah bapa Anwar Ibrahim selamat disemadikan

Syafique Shuib
April 5, 2015 08:10 MYT
Jenazah Allahyarham Datuk Ibrahim Abd Rahman, yang merupakan bapa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat disemadikan pada jam 2.35 petang.
Jenazah Allahyarham Datuk Ibrahim Abd Rahman, yang merupakan bapa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat disemadikan pada jam 2.35 petang.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Ramal, Kajang.
Solat jenazah diadakan di rumah Allahyarham di Pinggir Pelangi Pagi, Country Heights pada jam 1 tengahari dan van jenazah bertolak ke tanah perkuburan pada jam 2.10 petang.
Antara yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir di kediaman Allahyarham adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib
Turut hadir ialah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran dan peguam Latheefa Koya.
Sementara itu, kerajaan negeri Selangor merakamkan takziah kepada Anwar dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail atas pemergian ayahanda Anwar.
"Saya doakan ahli keluarga Datuk Seri Anwar agar sabar dan terus tabah.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri kerana membenarkan Anwar melawat ayah," kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali ringkas kepada pemberita.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Penjara dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membenarkan Anwar melawat Allahyarham bapanya.
"Ini tindakan yang wajar. Agak malang untuk Anwar kerana kehilangan kedua ibu-bapanya ketika berada di dalam penjara.
"Kali pertama berlaku dulu ketika ibunya meninggal dan pihak penjara membenarkan Anwar untuk melawat. Saya kira satu amalan yang baik dan kita ucapakan terima kasih," kata Rafizi di kediaman Allahyarham.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di di rumah arwah bapanya Datuk Ibrahim Abd Rahman di Pinggir Pelangi Pagi, Country Heights pada jam 10.40 pagi.
Ketibaan beliau dikawal ketat dan diiringi oleh para pengawal dari jabatan Penjara.
Ketibaan Anwar disambut oleh anak perempuannya Nurul Nuha.
#Anwar Ibrahim #Ibrahim Abd Rahman #meninggal dunia