Jenazah atlet angkat berat OKU selamat dikebumi
Shuhada Abdul Kadir
Januari 4, 2020 00:43 MYT
Januari 4, 2020 00:43 MYT
Jenazah atlet angkat berat orang kurang upaya (OKU), Muhammad Ata Maarof, yang maut akibat melecur 80 peratus tubuhnya apabila kediaman yang dihuni bersama ibunya di Taman Pagoh Jaya, Muar terbakar tengahari Sabtu, selamat dikebumikan.
Muhammad Ata, 28 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pagoh Jaya kira-kira jam 11.20 malam tadi.
Terdahulu, jenazah pemenang pingat gangsa kategori 55 kilogram di Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 2018 itu selesai dimandi dan dikafankan di jabatan forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, dan dituntut ahli keluarganya sekitar jam 9.50 malam tadi.
Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Muhajirin Taman Pagoh Jaya dan disembahyangkan.
Suasana pilu menyelubungi sebaik jenazah dibawa tiba ke tanah perkuburan di mana lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga dan kenalan mengiringi jenazah bagi memberikan penghormatan terakhir.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.45 pagi itu, Muhammad Ata, yang berada di bahagian dapur rumah berkenaan gagal menyelamatkan diri.
Allahyarham Muhammad Ata yang bekerja di Kuala Lumpur sedang bercuti selama lima hari dan pulang ke kediaman ibunya di Taman Pagoh Jaya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#atlet angkat berat OKU
#maut akibat melecur
#Muhammad Ata Maarof
#selamat dikebumikan
#Tanah Perkuburan Islam Pagoh Jaya