Jenazah Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia selamat dikebumikan

Bernama
Jun 16, 2016 07:49 MYT
Jenazah Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Brig. Jen. Datuk Jalaludin Md Yusof diusung keluar dari pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam hari ini. - Foto Bernama
Jenazah Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Brig. Jen. Datuk Jalaludin Md Yusof selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi, Sungai Udang di sini pukul 2.43 petang ini.
Suasana sedih menyelubungi kira-kira 200 orang yang hadir di tanah perkuburan itu antaranya isteri Allahyarham Datin Sadaah Mohamad, Panglima 3 Divisyen Mej Jen Hasagaya Abdullah, anggota keluarga, penduduk setempat serta anggota tentera Malaysia dan Indonesia.
Terdahulu, pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa jenazah berlepas ke Malaysia dari Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma, Jakarta, Indonesia pada pukul 8.30 pagi tadi.
Jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam di sini pukul 11.27 pagi tadi sebelum disembahyangkan di rumah keluarganya di Sungai Udang di sini dan Masjid As Syuhada, Kem Terendak di sini.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob hadir bersama kira-kira 300 orang untuk solat jenazah di Masjid As Syuhada.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital MMC di Kuningan Jakarta, malam tadi.
#Brig. Jen. Datuk Jalaludin Md Yusof selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi #Jenazah Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia #Sungai Udang