Jenazah Allahyarham Sabbaruddin Chik selamat dikebumikan
Fareez Azman
Disember 5, 2021 11:07 MYT
Disember 5, 2021 11:07 MYT
KUALA LUMPUR: Jenazah bekas menteri Kabinet, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira kira jam 10.40 pagi Ahad.
Upacara pengebumian dijalankan petugas Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dibantu petugas dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Bilik Mayat PPUM kira kira jam 9.50 pagi sebelum tiba di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 10.05 pagi.
Turut hadir mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Sabbaruddin Chik ialah ahli keluarga terdekat dan pegawai khasnya Datuk Zamri Mohamed.
Bagi Zamri, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat keluarga dan dirinya.
“Saya dan Allahyarham dah kenal lebih 25 tahun, bekerja dengan Allahyarham.
“Satu dugaan yang saya rasa sangat besar, saya datang untuk bersama Allahyarham.
“Ketika di dalam van jenazah, hanya saya berdua sahaja, apa mampu saya buat hanya berdoa,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai keperibadian Allahyarham, Zamri berkata arwah seorang pemimpin yang sangat disegani.
“Tan Sri Sabbaruddin ini seorang pemimpin tidak mahu didendang.
"Seorang yang tegas, berprinsip, menepati masa, mengotakan apa dijanjikan.
“Sukar dicari gantilah, dan beliau juga melahirkan ramai rakan yang berjaya ketika ini,” jelasnya lagi.