Jenazah ADUN Slim, Mohd Khusairi selamat dikebumi
Aida Aziz
Julai 16, 2020 12:53 MYT
Julai 16, 2020 12:53 MYT
Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang, Slim River pada jam 9.20 pagi, pada Khamis.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al- Rahmaniah Felda Sungai Behrang kira-kira jam 8.30 pagi.
Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada petang Rabu kerana mengalami serangan jantung.
Allahyarham dikatakan tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa dari Hospital Bentong, Pahang ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Slim River malam semalam.
Kira-kira 1,000 jemaah hadir untuk solat jenazah dan disusuli dengan pengebumian Allahyarham.
Antara yang hadir termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa barisan Exco kerajaan negeri.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.
Sementara itu, adik kepada Allahyarham, Othman Abdul Talib, 55, yang merupakan anak kelima dari lapan beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya adalah sebelum bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya ahli keluarga tidak mengetahui sama ada Allahyarham mempunyai sebarang penyakit sebelum ini.
“(Semalam) Allahyarham tumbang dan dibawa ke Hospital Bentong. Dalam masa setengah jam selepas tu dapat berita kematian dia. Setahu kami Allahyarham tidak ada apa-apa sakit, memang tidak ada.
"Memang kami keluarga pun tidak tahu dia sakit ke tidak. Kami sangat terkejut, peristiwa kali terakhir (bertemu) saya ingat sebelum PKP dahulu. Masa itu kami berhubung dengan Whatsapp keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd Khusairi dipilih menjadi ADUN Slim (N.58) sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada tahun 2004 dan berjaya mengekalkan kerusi itu sehingga kini.
Sepanjang tempoh perkhidmatan Allahyarham sebagai ADUN selama empat penggal, Allahyarham antara lain telah diberi kepercayaan dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Penggalan Dewan Negeri Perak.
Pada Rabu, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menyifatkan kematian Allahyarham sebagai kehilangan yang amat besar kepada Dewan Negeri Perak.
Mohammad Zahir juga berkata Allahyarham merupakan ADUN yang berpengalaman luas dan telah menyumbangkan banyak jasa dan bakti kepada negeri secara amnya dan DUN Slim khususnya.
#ADUN
#Ahmad Maslan
#Asyraf Wajdi Dusuki
#Felda
#Genting Highlands
#Hospital
#meninggal dunia
#Menteri Besar
#Mohd Khusairi Abdul Talib
#Pemuda UMNO
#perintah kawalan pergerakan
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PKP
#UMNO
#WhatsApp