Jenazah ADUN Bugaya Manis Muka selamat dikebumikan
Ridzal Abdullah, Petrus Bernard
November 17, 2020 07:33 MYT
November 17, 2020 07:33 MYT
TAWAU: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya Datin Manis Muka Mohd Darah selamat dikebumikan pada Rabu 4.45 pagi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya.
Van yang membawa jenazah dari Kota Kinabalu yang mengambil masa 10 jam perjalanan melalui laluan darat tiba di Masjid Kampung Bugaya pada jam 3.30 pagi.
Jenazah terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Kampung Bugaya Darat sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak di belakang masjid tersebut.
Arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu tengah hari selasa akibat komplikasi penyakit kronik.
Anak arwah yang juga Ketua Wirawati Warisan Bahagian Semporna, Fara Deeba Sabardin berkata dia amat sedih kerana ibunya telah sekian lama terpaksa menahan kesakitan namun menyembunyikan keadaannya kepada orang ramai dan menguatkan semangat bekerja demi rakyat.
"Kali terakhir saya jumpa, kami bercakap, dia tidak banyak cakaplah, dia cuma solat.
"Tapi dia macam tiba-tibalah, dia memang selalu sakit, di rumah pun dia pakai kerusi roda, tapi kalau di luar dia tidak mahu pakai kerusi roda, dia tidak mahu orang nampak dia pakai kerusi roda.
"Sebenarnya dia sudah lama sakit... dia ada penyakit tiga serangkai, dia ada ketumbuhan lagi tumor di kepalanya," kata Fara Deeba.
Sementara itu, penduduk di Bugaya turut menyifatkan arwah yang mesra rakyat dan mudah didekati dan sangat mengambil berat kebajikan rakyat.
Amir Baha Panggaga berkata amat sukar menemui pemimpin seperti arwah.
"Rasa kehilangan besar, seperti wakil rakyat yang berhormat Datin Hajah Manis Muka ini, amat susah kami cari, susah ditukar ganti jadi kalau saya syorkanlah, insya-Allah penggantinya ini mungkin ada satu keturunannya," kata Amir.
Allahyarham Manis Muka, 65, menang kerusi Dewan Undangan Negeri Bugaya pada pilihan raya negeri Sabah 26 September yang lepas bagi penggal kedua.
Beliau bergiat aktif dalam arena politik sejak tahun 1985 dan pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Bahagian Semporna.
Allahyarham meninggalkan suami Datuk Sabardin Omrah, 76, serta 13 orang anak.
#Manis Muka Mohd Darah
#ADUN BUGAYA
#Masjid Kampung Bugaya Darat
#Wanita UMNO
#Hospital Gleneagles
#Fara Deeba Sabardin