Jenazah adinda Sultan Selangor selamat disemadi
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 9, 2017 12:56 MYT
Jun 9, 2017 12:56 MYT
Jenazah adinda kepada Sultan Selangor, Tengku Puteri Sofiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 68, yang mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, petang semalam, selamat disemadikan pagi ini di Makam Diraja Shah Alam, kira-kira jam 10.45 pagi tadi.
Jenazah Tengku Puteri Sofiah dibawa ke makam menggunakan pengusung diraja oleh Anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan diiringi Jejawat Diraja sambil diseliakan oleh Bentara Diraja.
Turut mengiringi jenazah Almarhum adalah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
Terdahulu, jenazah Tengku Puteri Sofiah selamat disiramkan dan di sembahyang sambil dipimpin oleh Timbalan Mufti Selangor, Anhar Opir di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.