Jenazah 2 komando polis dijadual tiba pagi Sabtu
Astro Awani
Mac 1, 2013 23:43 MYT
Mac 1, 2013 23:43 MYT
Jenazah dua anggota komando polis yang terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah dijadual tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pagi esok.
Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat, 29 yang berasal dari kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu akan dibawa ke kampung halaman untuk dikebumikan.
Allahyarham Zulkifli meninggalkan sorang isteri dan dua anak lelaki berusia empat tahun dan satu tahun.
Manakala jenazah Koperal Sabarudin Daud, 46 yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Sungai Besar esok.
Sementara itu, Bernama melaporkan dua anggota yang cedera dalam kejadian tersebut Koperal Tarmizi Hashim 32, dan Koperal Azman Ampong, 39 kini dirawat di Hospital Lahad Datu.
Manakala seorang lagi, Konstabel Mohamad Qaiyum 'Aiqal Zolkifli, 22 yang cedera di bahu kanan dan kedua-dua kaki kini dirawat di Hospital Sandakan.