Jenayah siber: Kabinet arah PDRM, AGC dan MCMC selaras tindakan, pendakwaan

Firdaus Azil
Julai 24, 2024 16:16 MYT
Fahmi bercakap sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Putrajaya, pada Rabu. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kabinet telah mengarahkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk memantap dan menyelaraskan tindakan dari segi aspek siasatan dan pendakwaan berhubung jenayah dalam talian.

Ringkasan AI
  • Arahan Kabinet: Kabinet mengarahkan PDRM, AGC, dan MCMC untuk memperkukuh dan menyelaraskan tindakan siasatan dan pendakwaan jenayah dalam talian.
  • Ancaman Utama: Tiga ancaman utama yang dikenal pasti adalah penipuan (scam), buli siber, dan jenayah seksual yang melibatkan penyebaran bahan pornografi dan pedofilia.
  • Kepatuhan Platform: Kadar kepatuhan yang berbeza di antara platform media sosial menjadi faktor utama keputusan tegas ini, dengan beberapa platform lebih pantas akur berbanding yang lain.

Menteri Komunikasi, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu diambil susulan peningkatan jenayah dalam talian melibatkan tiga ancaman utama – penipuan (scam), buli siber dan jenayah seksual yang melibatkan penyebaran bahan pornografi dan pedofilia.
Selain itu, beliau berkata, kadar kepatuhan (compliance rate) yang berbeza di antara setiap platform media sosial antara faktor mengapa keputusan tegas seperti itu perlu diambil.
“Tiga ancaman ini adalah perkara yang kita lihat tidak boleh dibenarkan berlarutan, dan ini antara sebab mengapa dalam tempoh dari semalam dan beberapa hari lalu, MCMC telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform, untuk mereka beri maklum balas berkaitan isu yang disebut tadi.
“Kerana didapati sejumlah platform, setiap platform ada mempunyai tahap compliance rate berbeza, ada yang lebih pantas akur, ada yang langsung tidak akur, sangat lewat untuk menjawab kepada pihak berkuasa,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Putrajaya, pada Rabu.
Jenayah dalam talian tinggi di Malaysia scam, buli siber & pedofilia
Fahmi berkata, terdapat permasalahan yang berbeza untuk setiap platform, antaranya isu penipuan (scam), judi dalam talian, dan kandungan kecerdasan buatan (AI) agak dominan di Facebook; isu Raja, Agama, Bangsa (3R), buli siber dan kandungan palsu di TikTok.
Selain itu penyebaran kandungan sensitif, palsu dan lucah di Telegram; manakala di Twitter atau X pula melibatkan masalah kandungan lucah, 3R, dan pengantunan kanak-kanak.
Mengenai kadar ketidakpatuhan, beliau berkata, Meta yang mengawal selia Facebook, Instagram dan Whatsapp pada kadar 79 hingga 88 peratus; diikuti TikTok (76 peratus) Telegram (63 peratus), dan Twitter atau X paling rendah, iaitu pada kadar 25 peratus.
Tambah beliau lagi, setiap platform mempunyai masalah atau kecenderungan penghasilan jenayah yang berbeza, dan boleh memberi impak negatif kepada sosial, kewangan dan kesihatan rakyat di negara ini.
“Bermaksud masalah besar di Facebook ialah bagaimana platform ini terus disalahgunakan sejumlah penjenayah untuk memangsakan rakyat, dengan cara mencuri simpanan (dan sebagainya). Kalau kita lihat TikTok antara masalah paling besar melibatkan buli siber, dan juga penggunaan akaun palsu untuk scam atau buli siber.
“Kalau kita lihat Telegram, dimaklumkan antara masalah yang dihadapi ialah masalah scam, judi dalam talian, sebaran maklumat peribadi dan sensitif, masalah kandungan cetak rompak, sebaran filem video dimiliki pihak lain.
“Sebagai contoh pihak pengurusan Astro pernah membangkitkan wujud channel atau saluran tertentu untuk yang orang awam boleh menonton episod yang diterbit dan disiarkan dalam Astro. Jadi kita lihat Telegram tidak lakukan apa-apa tindakan, atau sangat lewat dan sangat lembab untuk ambil tindakan tentang perkara tersebut,” tegasnya lagi.
Fahmi berkata, biarpun ada kerjasama dan kepatuhan berasaskan persefahaman di antara platform media sosial dan MCMC, akhirnya yang akan memutuskan untuk menurunkan sesuatu kandungan adalah platform itu sendiri.
Beliau menjelaskan, MCMC akan mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi platform yang berkaitan, dan akan memaklumkan bahawa berdasarkan pengamatan dan analisa suruhanjaya tersebut, kandungan itu melanggar undang-undang Malaysia, dan terpulang kepada platform tersebut untuk tindakan selanjutnya.
“Kita (sentiasa) merujuk kepada undang-undang negara kita, namun bagi platform terbabit mereka akan merujuk kepada garis panduan komuniti mereka.
"Jadi di situ, pada waktu ini ada beza pandangan, tapi yang penting kenapa saya sebut beza antara kadar kepatuhan ini adalah untuk menunjukkan ada platform sedia beri kerjasama, ada pula yang sangat tidak memuaskan,” katanya lagi.
Ditanya sekiranya platform tertentu masih enggan memberi kerjasama yang sewajarnya, dan tidak patuh kepada kedaulatan undang-undang negara, Fahmi berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk bertindak lebih tegas, dan MCMC akan mengumumkan garis panduan berkaitan dalam masa terdekat.
#jenayah siber #PDRM #AGC #MCMC #Fahmi Fadzil #jenayah dalam talian #kabinet
;