Jenayah seksual libatkan remaja, pelajar di Kelantan membimbangkan - Polis

Muhafandi Muhamad
Julai 4, 2023 16:35 MYT
Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, polis Kelantan merekodkan 84 kes jenayah seksual melibatkan golongan itu manakala 99 kes direkodkan pada tahun lepas.- - Gambar fail/BERNAMA
PASIR MAS: Jenayah seksual dan sosial melibatkan remaja termasuk pelajar sekolah di negeri Kelantan kini membimbangkan.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, antaranya kes jenayah rogol yang melibatkan remaja bawah 18 tahun yang merekodkan 42 kes sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.
"Untuk gejala sosial di Kelantan ini agak membimbangkan kerana peringkat awal bermula tahun lepas kita sudah menumpukan pada kes-kes seumpama ini kerana ianya melibatkan remaja bawah umur yang terlalu muda, ada (berusia) belasan tahun 12, 13 tahun. Ini membimbangkan kerana mereka yang tak tahu dan akan jadi barah, berjangkit dan perubahan ini dapat dilihat,” katanya ketika hadir pada satu majlis di sini hari ini.
Tambahnya, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, polis Kelantan merekodkan 84 kes jenayah seksual melibatkan golongan itu manakala 99 kes direkodkan pada tahun lepas.
Bagi kes rogol yang membabitkan remaja bawah 18 tahun pada tahun 2022 pula ia merekodkan 79 kes dengan 37 pelakunya telah ditahan dan didakwa.
Menurut Muhamad Zaki lagi, sepanjang tahun ini, 11 pelajar sekolah dan tiga pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah serta dadah.
Manakala untuk 2022, seramai 46 pelajar sekolah dan 13 penuntut IPT ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah.
Menyentuh mengenai gejala buli pelajar sekolah, ia merekodkan 15 kes sepanjang tempoh Januari hingga Jun lepas di seluruh negeri itu.
Ianya melibatkan kes-kes yang disiasat mengikut Seksyen 323, 506 dan 147 Kanun Keseksaan.
Polis katanya, memandang serius kes jenayah seksual dan buli sama ada buli fizikal, buli mental atau buli siber pelajar kerana ianya mempengaruhi perkembangan mental dan sahsiah meraka.
Muhamad Zaki berkata, pihak polis bersama Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa bekerjasama bagi menangani kes jenayah pelajar itu supaya ianya tidak menjadi barah dan trend di sekolah.
Kes-kes jenayah itu termasuk buli katanya turut dipengaruhi oleh ketiadaan kawalan penggunaan media sosial serta laman-laman sosial dalam internet.
#jenayah seksual dan sosial #pelajar sekolah #Polis Kelantan #jenayah Kelantan #Muhamad Zaki Harun #rogol
;