Jenayah rogol bukan bahan jenaka guru, pelajar - Mahdzir Khalid

Astro Awani
April 26, 2021 18:26 MYT
Mahdzir berkata, kejadian itu tidak boleh dianggap terpencil dan KPM perlu mengambil tindakan tegas terhadap guru terbabit jika dakwaan berkenaan terbukti benar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang guru lelaki yang didakwa membuat gurauan berkaitan rogol ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, disifatkan sebagai tidak profesional serta memalukan institusi perguruan di negara ini.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejadian itu tidak boleh dianggap terpencil dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap guru terbabit jika dakwaan berkenaan terbukti benar.
"Sebagai bekas pengetua sekolah dan juga bekas Menteri Pendidikan, saya berasakan perkara itu memalukan institusi keguruan di negara ini.
"Dalam apa jua situasi sekalipun, perkara itu tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan untuk berlawak kerana rogol itu sendiri adalah perbuatan jenayah yang sama sekali tidak wajar dipromosikan, lebih-lebih lagi oleh seorang bernama guru," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
BACA: Gurauan rogol: Polis terima 2 laporan, sedang rakam keterangan rakan sekelas
BACA: Polis siasat kes guru disyaki galak perbuatan rogol
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menegaskan, guru sepatutnya mendidik anak murid menjauhi jenayah rogol dan bukannya menjadikan ia sebagai bahan satira atau jenaka.
"Bagi saya, ini juga berkaitan dengan akhlak seorang guru. Kita bukan nak mengambil pendekatan menghukum akhlak keseluruhan guru-guru di Malaysia, tetapi kesedaran mengenai batasan percakapan itu perlu ada dalam diri setiap guru agar semua anak murid di dalam kelas tidak berasa terganggu emosi mereka dengan akhlak dan perlakuan guru mereka. Ini bagi saya amat penting untuk kita faham," katanya.
Justeru, beliau menggesa KPM segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Jumaat lalu, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Kuala Selangor mendakwa, seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas.
Menurut pelajar berkenaan, guru terbabit bercakap mengenai jenayah rogol ketika membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolahnya.
Pelajar berkenaan mendedahkan perkara itu menerusi satu klip video di platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciap di Twitter dan menjadi tular.
#rogol #jenaka #gurauan #jenayah #tidak profesional #memalukan institusi perguruan #Mahdzir Khalid
;