Jenayah berkaitan perkhidmatan teksi perlu dibendung

Astro Awani
Mac 20, 2013 01:35 MYT
Keselamatan perkhidmatan teksi, terutama membabitkan penumpang wanita kembali menjadi tanda-tanya susulan beberapa laporan jenayah baru-baru ini.
Jenayah membabitkan kes rogol, serangan, penculikan dan rompakan yang melibatkan pemandu teksi dan penumpang wanita.
Namun disebalik laporan ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat jumlah kes sebegini masih terkawal.
Beliau berharap pengenalan langkah-langkah keselamatan seperti pengenalan aplikasi telefon pintar dapat mengurangkan kebimbangan orang ramai.
“Walaupun kes-kes melibatkan jenayah teksi tidak banyak tetapi saya rasa ini bakal memberikan kelegaan kepada keluarga terutamanya ibu bapa yang melepaskan anak mereka menaiki teksi secara sendirian,” kata Ismail ketika melancarkan sebuah aplikasi untuk telefon pintar “My Teksi” semalam.
Tinjauan Astro Awani mendapati ramai yang menyambut baik penggunaan teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan.
Seorang penumpang teksi, Mohd Zordi Mohd Nor, berkata: “Bagi lelaki ini mungkin kurang bahayanya, tetapi bagi perempuan kalau tiada teman memang sangat bahaya sebab macam-macam boleh terjadi.
“Sekarang ini pun kita boleh tengok berita bahawa pemandu teksi rogol penumpang, culik penumpang. Ini sesuatu yang kita perlu berhati-hati” kata Mohd Zordi, yang bersetuju aplikasi “My Teksi” boleh membantu sedikit sebanyak.
Dalam hal yang sama, usaha-usaha kerajaan yang dilancarkan sebelum ini, seperti teksi khas untuk wanita, kembali menjadi tumpuan.
Apabila dipersoalkan status usaha kerajaan ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan kepada Astro Awani kerajaan bakal menambahkan lagi 300 teksi khas untuk wanita.
Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur berkata inisiatif ini akan turut membantu menambah pendapatan wanita, selain daripada meningkatkan keselamatan penumpang wanita.
Bagi persatuan teksi pula mereka menyeru pihak kerajaan untuk mengawal syarikat-syarikat teksi dan pemandu teksi dengan lebih ketat lagi sekaligus mengurangkan kes-kes pemandu yang terlibat dalam jenayah.
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #My Teksi #pemandu teksi