Jenama dan logo Nasi Kak Wook disahkan berdaftar dengan MyIPO

Astro Awani
Mac 9, 2018 16:17 MYT
Legasi Nasi Kak Wook kini diteruskan anak-anak serta cucunya dengan mempunyai enam cawangan di Kelantan.-foto Sinar Harian
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengesahkan jenama Nasi Kak Wook disenaraikan dalam sistem Pendaftaran Cap Dagangan Malaysia pada 17 Oktober 2014.
Jenama dan logo ‘Nasi Kak Wook Original Recipe The Taste Is Begin 1970’ adalah dibawah pemilikan sah tiga penama iaitu Mastura Ibrahim, Che Ab Aziz Amat dan Maheran Ibrahim yang beralamat di Nasi Kak Wok, Lot 9 Jalan Asrama Zainab, Off Jalan Telipot Kota Bharu, Kelantan.
MyIPO dalam kenyataannya memberitahu, pendaftaran jenama dan logo Nasi Kak Wok diiktiraf di bawah Akta Cap Dagangan 1976.
Ia sekali gus melayakkan pemiliknya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menggunakan jenama serta logonya tanpa kebenaran bertulis.
Seperti termaktub di bawah Seksyen 38 Akta Cap Dagangan 1976, pelanggaran cap dagangan adalah merangkumi penggunaan cap dagangan yang serupa, atau yang menyerupai, cap dagangan berdaftar sehingga ia mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan pengguna.
Sehubungan itu, MyIPO meminta seluruh rakyat Malaysia termasuk golongan usahawan untuk menghormati hak harta intelek dan tidak melakukan kesalahan menciplak kerana ia adalah salah di sisi undang-undang.
Nasi Kak Wook menjadi fenomena di Kelantan dan Lembah Kelang kerana hidangannya ringkas tetapi mampu menambat selera sesiapa sahaja yang mencubanya.
Hidangan nasi putih, ayam goreng kunyit dipotong dadu, gulai ayam dan sambal belacan ini adalah resepi tradisi yang dimulakan oleh Allahyarham Wook Hassan sekitar tahun 1984.
Dari awal, ia menjadi pilihan penduduk setempat kerana harganya yang murah sekitar 70 sen sebungkus bagi lauk ayam dan 50 sen sebungkus bagi lauk ikan.
Legasi Nasi Kak Wook kini diteruskan dua anaknya, Maheran Ibrahim, 48 tahun dan Mastura, 46 tahun dengan mempunyai enam cawangan di Kelantan dan menggunakan gambar arwah ibu mereka sebagai logo rasmi.
Bagaimanapun, tiada sebarangan cawangan dibuka di luar Kelantan.
Namun, populariti Nasi Kak Wook telah menarik puluhan pengusaha untuk membuka restoran dengan nama serta menu yang sama.
Ini memaksa pemilik asal jenama berkenaan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis amaran agar tidak lagi menggunakan jenama yang sama kepada 10 pemilik restoran setakat ini.
#ayam goreng kunyit #Kelantan #Kota Bharu #Malaysia #MyIPO #Nasi Kak Wook #rakyat Malaysia #undang-undang
;