Jenama baharu HRD Corp mampu beri latihan, peluang pekerjaan
Astro Awani
Disember 9, 2021 13:20 MYT
Disember 9, 2021 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Penjenamaan baharu Lembaga Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mampu memberi latihan dan peluang pekerjaan kepada golongan belia termasuk murid berkeperluan khas (MBK) di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, HRD Corp telah berada di barisan hadapan dalam membangunkan tenaga kerja berasaskan pengetahuan berkemahiran tinggi di Malaysia.
"Sebagai contoh, pelancaran penjenamaan baharu HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini, ramai pelajar sekolah menengah diberikan peluang bukan sahaja latihan bimbingan tetapi juga peluang pekerjaan selepas menamatkan latihan serta kursus mereka," katanya di Dewan Negara pada Khamis.
Tambah Mohamad, Kementerian Pendidikan (KPM) pula mengadakan beberapa program kolaborasi dengan pihak industri seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).
Katanya para pelajar itu diberikan kursus program perintis dan mentor selain diberikan sijil mengikut keperluan industri di negara ini.
Selain itu katanya, KPM sentiasa komited dalam memastikan murid berkeperluan khas (MBK) mendapat akses pendidikan dalam bidang TVET melalui program kemahiran yang disediakan di sekolah menengah pendidikan khas vokasional (SMPKV) dan Kolej Vokasional (KV).
"Setakat ini terdapat empat buah SMKPKV masing-masing di Shah Alam, Selangor; Indahpura, Johor; Kuantan, Pahang dan Merbok, Kedah.
KPM juga menyediakan pendidikan TVET kepada MBK yang berada di KV Keningau, Sabah.
"KPM sentiasa memperkasakan bidang TVET melalui penambahbaikan kualiti program berdasarkan standard kemahiran pekerjaaan kebangsaan di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementeri Sumber Manusia.
"Penambahbaikan ini bertujuan menarik minat MBK menceburi bidang TVET dan memastikan mereka mendapat kemahiran serta pengalaman yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri," katanya.