Jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Jakarta sudah berlepas ke Tanah Suci

Astro Awani
Februari 24, 2023 12:21 MYT
Kumpulan jemaah umrah terakhir dari Malaysia berlepas ke Jeddah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta pada pukul 11.45 pagi ini (waktu Malaysia). - Gambar Emraz Travel
KUALA LUMPUR: Kesemua 62 jemaah umrah dari Malaysia yang terkandas di Jakarta, Indonesia telah berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Saudi Airlines, pagi ini.
Jemaah-jemaah umrah itu yang mengalami kelewatan penerbangan akibat masalah teknikal berlepas secara tiga peringkat sejak awal pagi tadi dan penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah pada pukul 11.28 pagi waktu Arab Saudi (4.28 petang waktu Malaysia).
Unit komunikasi pemasaran Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga syarikat pengendali umrah itu berkata, isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.
“Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.
“Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti cuti sekolah dan pihak syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga.
“Pihak Emraz akan terus memastikan semua pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik,” kata syarikat itu kepada Astro AWANI.
#Jemaah Umrah Malaysia #jemaah terkandas #Jakarta #Emraz Travel
;