Jemaah teruja tunai solat sunat Aidilfitri pertama di Masjid Razaleigh

Muhafandi Muhamad
Mei 2, 2022 13:12 MYT
Replika Kaabah yang didirikan di Masjid Razaleigh, Gua Musang mendapat perhatian jemaah yang memgambil kesempatan merakamkan gambar kenangan selepas mendirikan solat sunat Aidilfitri. - Gambar Astro AWANI
GUA MUSANG: Lebih 3, 000 jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali di masjid model Masjidil Haram, Masjid Razaleigh di sini, hari ini.
Selepas dua tahun beraya dalam suasana pandemik COVID-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kehadiran jemaah yang memenuhi masjid.
Katanya, Masjid Razaleigh menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat tempatan tetapi perantau yang pulang berhari raya selepas kerajaan memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
“Alhamdulillah bersyukur kepada Allah pada hari ini nampaknya ramai ke Masjid Razaleigh (yang) berupa Masjidil Haram yang merupakan kali pertama solat pertama Hari Raya Aidilfitri diadakan.
“Sambutannya amat baik… jemaah memenuhi masjid awal pagi. Terima kasih kepada Tengku (Razaleigh) yang menginspirasikan pembinaan bukan sahaja tarikan kepada warga tempatan tetapi viral kepada warga kelantan dan perantau yang masuk ke Kelantan,” katanya ketika ditemui sejurus selesai solat sunat Aidilfitri.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai teruja kerana berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid yang serba indah itu.
Bagi anggota bomba, Mohd Suariman Mohd Zain, kesyukuran dipanjatkannya kepada Allah kerana memberikan peluang kepada umat Islam di negara ini meraikan lebaran sekalipun awal sehari daripada jangkaan.
Kesyukurannya tambah berganda kerana Malaysia sudah tidak lagi berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sementara bagi seorang guru, Syahida Fauzi, biarpun tidak berpeluang ke Mekah untuk menunaikan solat di Masjidil Haram, namun, dengan tersergamnya Masjid Razaleigh di Gua Musang amat disyukurinya.
“Syukur Alhamdulillah ada masjid macam ini di tanah air. Rasa bersyukur sangat-sangat dapat singgah solat raya kat sini.
“Saya rasa sangat berbangga dan berbesar hati sebagai rakyat Kelantan dengan adanya replika Masjidiil Haram,”kata Syahida.
Setelah tertangguh hampir dua tahun, Masjid Razaleigh yang reka bentuknya mirip Masjidil Haram Mekah dibuka secara rasmi pada 1 April lalu.
Pembukaan masjid bernilai RM34 juta itu sebelum ini terpaksa ditangguh berikutan penularan COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.
#masjid razaleigh #Masjidil Haram #Mekah #Gua Musang
;