Jemaah surau terkejut bunyi dentuman menara telekomunikasi tumbang
Amirrul Rabbani
Februari 21, 2022 20:15 MYT
Februari 21, 2022 20:15 MYT
IPOH: Seramai 15 jemaah yang sedang menunaikan solat Asar di Surau Diri Jumaat Al-Ansar di perumahan Seri Palma, Bandar Seri Botani dekat sini, pada petang semalam tidak menyangka bunyi dentuman kuat yang didengar merupakan bunyi sebuah menara telekomunikasi yang tumbang.
Saksi kejadian, Semsudin Abu Baker, 71, berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat selain angin kencang.
Katanya, sejurus selesai menunaikan solat, dia dan jemaah yang lain mendapati menara setinggi 30 meter itu turut menghempap sebuah kabin berhampiran.
Bagaimanapun, kata Semsudin, insiden itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan selain struktur bangunan surau juga selamat.
“Terkejut juga apabila dengar bunyi dentuman itu, namun kami tetap meneruskan solat Asar berjemaah. Sebelum masuk waktu solat, memang sudah ada kejadian angin kuat.
“Memang kami bimbang jika apa-apa perkara buruk yang akan berlaku ketika itu, kerana pernah ada kejadian seperti angin ribut di Bercham sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di surau berkenaan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Surau berkenaan, Mohd Fadhli Ahmad berkata kerugian yang dialami pihaknya susulan kerosakan kabin itu berjumlah kira-kira RM20,000.
Menurutnya, kabin yang didiami siak yang bertugas itu pernah menjadi struktur surau sementara pada tahun 2012 sebelum dinaik taraf kepada Surau Diri Jumaat pada 2012 untuk kegunaan ahli kariah di sekitar.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, pemilik menara telekomunikasi, Prosontech Sdn. Bhd. (Prosontech) bersedia untuk menyelesaikan soal ganti rugi yang dialami pihak surau selain turut diminta menyediakan laporan penuh berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, susulan itu juga, menara telekomunikasi sementara ataupun ‘Portable Base Transceiver Station' (PBTS) akan ditempatkan segera di surau berkenaan bagi menambah baik perkhidmatan telekomunikasi dan internet yang membabitkan hampir 1,000 pengguna di situ.
Ujar beliau kerja-kerja pembersihan dan pemasangan semula menara telekomunikasi yang baharu akan memakan masa kira-kira tiga bulan
“Kita berharap agar kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Oleh sebab itu saya meminta agar Digital Perak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak, untuk memantau tahap keselamatan di semua menara telekomunikasi di negeri ini.
“Walaupun menara-menara ini dibina mengikut spesifikasi yang betul, akan tetapi diharapkan agar ada pemantauan lebih serius dapat dibuat terutama dalam situasi (ketidaktentuan cuaca) ketika ini. Mencegah lebih baik daripada kita menghadapi keadaan yang lebih teruk” jelas Khairul Shahril.