Jemaah Menteri setuju RCI ditubuh siasat buku Tommy Thomas
Astro Awani
Januari 11, 2023 20:07 MYT
Januari 11, 2023 20:07 MYT
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata, RCI ini bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tertentu.
“Penubuhan RCI ini adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Kerajaan memandang serius terhadap dakwaan yang melibatkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi.
“Hal ini kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan (administration of justice) dan institusi kerajaan,” jelasnya.
Untuk itu, tambah Azalina, cadangan Terma Tauliah (Terms of Commission) RCI ini akan mempunyai skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada syor-syor yang telah dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK).
Azalina turut memaklumkan, Terma Tauliah yang terperinci, keahlian dan tempoh RCI ini akan dicadangkan kemudian oleh kerajaan.
Ia merupakan syor yang dicadangkan oleh Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Fong Joo Chung dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.