Jemaah Menteri setuju gubal RUU Sumbangan Politik - Wan Junaidi

Bernama
September 11, 2022 15:23 MYT
Skop dasar bagi RUU Sumbangan Politik dalam mesyuarat Jemaah Menteri telah dibentangkan pada 7 Sept lepas iaitu Pengawal Sumbangan Politik dijadikan sebuah entiti bebas bagi mengawal selia sumbangan politik di negara ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Berkaitan Sumbangan Politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Wan Junaidi berkata beliau juga akan menyusul pandangan Jemaah Menteri agar kerangka perundangan yang dicadangkan bagi RUU berkenaan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik untuk diperhalusi sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen kelak.
"Justeru, RUU ini akan cuba dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Junaidi berkata beliau telah membentangkan skop dasar bagi RUU Sumbangan Politik dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Sept lepas iaitu Pengawal Sumbangan Politik dijadikan sebuah entiti bebas bagi mengawal selia sumbangan politik di negara ini.
Beliau berkata penggubalan RUU itu akan mengambil kira pandangan pihak-pihak berkepentingan termasuk parti politik melalui sesi libat urus yang diadakan.
-- BERNAMA
#Rang Undang-Undang RUU Berkaitan Sumbangan Politik #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 #Dewan Rakyat
;