Jemaah Menteri sahkan kenyataan dua Timbalan Menteri terhadap Veveonah tidak betul, tidak wajar - Khairy
Fareez Azman
September 9, 2020 16:05 MYT
September 9, 2020 16:05 MYT
Jemaah Menteri mengesahkan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri terhadap pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin adalah tidak betul dan tidak wajar.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam laman Twitter miliknya pada Rabu.
Jelas Khairy, perkara itu dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi Rabu (9 September).
"Jemaah Menteri pagi tadi telah bincang isu #Veveonah. Kabinet ambil maklum kenyataan dua Timbalan Menteri tidak betul & tidak wajar.
"Kabinet setuju isu sebenar adalah capaian internet dan kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki," katanya ringkas dalam Twitter miliknya.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam sidang Dewan Negara ketika menjawab soalan tambahan sebelum ini memberitahu tindakan pelajar itu memanjat pokok bukan untuk mendapatkan capaian internet ketika menduduki peperiksaan secara dalam talian.
Sebaliknya, hanya untuk mencipta kandungan saluran YouTube milik pelajar itu.
Bagaimanapun kenyataan itu mendapat perhatian netizen dan beberapa ahli politik yang membidas Timbalan Menteri itu sebelum permohonan maafnya dibuat beberapa jam kemudian.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri dalam status di laman Facebook miliknya pula mengatakan Veveonah telah menipu dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan pelajar itu benar-benar menduduki peperiksaan di atas pokok atau tidak.
Jemaah Menteri pagi tadi telah bincang isu #Veveonah. Kabinet ambil maklum kenyataan dua Timbalan Menteri tidak betul & tidak wajar. Kabinet setuju isu sebanar adalah capaian internet & kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki.
#Dewan Negara
#Facebook
#Internet
#Khairy Jamaluddin
#peperiksaan
#politik
#Sains
#siasatan
#Twitter
#Veveonah
#Veveonah Mosibin
#YouTube