Jemaah menteri perlu terbuka terima kritikan, perbaiki kelompongan - PM Anwar
Bernama
Februari 21, 2025 07:00 MYT
Februari 21, 2025 07:00 MYT
Anwar turut mengingatkan Jemaah Menteri mengenai perlunya kesatuan dan kebersamaan sekali gus berfungsi sebagai sebuah kerajaan MADANI. - Foto Facebook/Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri mesti menerima kritikan dengan hati terbuka dan memperbaiki kelompongan yang ada dalam kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar turut mengingatkan Jemaah Menteri mengenai perlunya kesatuan dan kebersamaan sekali gus berfungsi sebagai sebuah kerajaan MADANI yang benar-benar mengangkat suara dan kehendak rakyat.
"Saya tegaskan bahawa marcapada hari ini termasuk situasi geopolitik dan teknologi, menuntut mana-mana kerajaan untuk bergerak pantas dan berubah agar terus kekal relevan dan berfungsi dengan baik kepada seluruh lapisan masyarakat," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
Amanat berkenaan disampaikan Anwar yang juga Menteri Kewangan sempena Permukiman Kerajaan MADANI 2025 selama dua hari di Bangi, Selangor, pada Jumaat.
Perdana Menteri berkata permukiman berkenaan membuka ruang sinergi dalam kalangan Jemaah Menteri bagi bersama-sama menambah baik, mengutarakan idea lebih segar dan merangka prakarsa yang strategik khususnya kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi negara.
-- BERNAMA