Jemaah Menteri menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16

Bernama
Januari 30, 2024 14:37 MYT
Seri Paduka Baginda bersama barisan menteri pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Kompleks Bunga Raya, KLIA, pada Selasa. -Bernama
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas jasa dan pengorbanan sepanjang tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Setelah lima tahun bertakhta sebagai Ketua Utama Negara, Al-Sultan Abdullah menamatkan penggal pemerintahan hari ini dan pulang ke Kuantan, Pahang, dalam Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersyukur dan berbangga dapat berkhidmat di bawah payung serta pentadbiran Al-Sultan Abdullah dalam membangunkan negara serta menaburkan khidmat bakti kepada rakyat.
"Patik bersyukur ke hadrat Allah atas kebijaksanaan Tuanku berdua dalam melunaskan amanah dan merungkai permasalahan negara yang tidak pernah dialami sebelum ini," katanya dalam perutusan bersempena dengan istiadat itu yang disiarkan TV1 hari ini.
Beliau berkata Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan sentiasa dikenang sebagai raja yang berjiwa rakyat dan ketua negara yang komited menyelesaikan segala cabaran dihadapi negara.
"Budi baik Tuanku berdua akan kekal terpahat di hati dan patik sekalian mendoakan agar Tuanku berdua sentiasa dirahmati serta dikurniakan keafiatan untuk terus memayungi rakyat. Selamat berangkat pulang Tuanku berdua ke Negeri Pahang Darul Makmur," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan beliau kepada Seri Paduka berdua atas pemerintahan yang adil, bijaksana dan saksama.
"Terima kasih juga diucapkan atas nasihat penuh bijaksana Tuanku kepada patik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga sepanjang patik menerajui tiga kementerian (iaitu) Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perladangan dan Komoditi, kini Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
"Selaku Menteri Penyelaras Kembara Kenali Borneo, patik percaya kenangan terindah bersama Tuanku dan Raja Permaisuri serta anakanda-anakanda Tuanku sepanjang kembara berkenaan, pasti terpahat di hati sanubari rakyat Sarawak dan Sabah buat selama-lamanya," katanya.
Fadillah berkata dunia menyaksikan betapa Malaysia memiliki raja yang penyayang, berjiwa dan prihatin rakyat, yang sanggup turun padang memandu sendiri sejauh lebih 2,300 kilometer, demi menyantuni rakyat di Sarawak dan Sabah.
"Sifat penyayang, jasa bakti, kebijaksanaan dan pengorbanan Tuanku kepada rakyat dan negara dalam mendepani pelbagai cabaran dan rintangan, juga dalam menyelesaikan kemelut politik negara dan membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan, akan tersemat selamanya di sanubari patik dan rakyat jelata," katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menjunjung kasih dan mengucapkan selamat berangkat balik ke Pahang kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
"Jasa dan pengorbanan Tuanku dan Raja Permaisuri Agong amat berharga kepada rakyat dan negara ketika COVID-19 dan sehinggalah kini negara berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan.
"Patik berdoa ke hadrat Ilahi agar Seri Paduka berdua dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan yang berpanjangan. Daulat Tuanku," katanya.
Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #jemaah menteri #Raja Permaisuri Agong #AgongKita
;