Jemaah Menteri mahu pembunuh Ismail Haniyeh dibawa ke muka pengadilan - Fahmi

Ridauddin Daud
Julai 31, 2024 09:22 MYT
Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri mahu pihak bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan.
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri Malaysia menggesa siasatan segera dilakukan terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Menerusi satu kenyataan, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri juga mahu pihak bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan.
Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu mengecam sekeras-kerasnya insiden itu dan bersolidariti bersama dengan rakyat Palestin.
Tegas Fahmi, kerajaan akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman.
Sebelum itu, Astro AWANI melaporkan Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh dilakukan terhadap insiden pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pegawai peribadinya.
Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi satu kenyataan pada Rabu menegaskan, mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.
Menurut kenyataan itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu dan mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga, barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.
Malaysia juga tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan termasuk pembunuhan yang disasarkan.
#Fahmi Fadzil #Hamas #Ismail Haniyeh #muka pengadilan